Friday, July 24, 2009

Tingkahlaku Langsang di Kalangan Kanak-Kanak

Langsang (misbehaviour) di kalangan kanak-kanak selalunya dikaitkan dengan tingkahlaku menggigit rakan, membuang atau membaling barang-barang permainan, menggunakan perkataan yang tidak sesuai, membuli kanak-kanak lain, menjerit apabila rasa marah dan sebagainya. Kanak-kanak menunjukkan tingkahlaku langsang yang tertentu mengikut peringkat umur. Sebagai contoh, bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun, tingkahlaku langsang yang selalunya ditunjukkan adalah seperti menggigit, mencakar dan menjerit apabila marah. Bagi kanak-kanak berumur 5 tahun pula, tingkahlaku yang ditunjukkan adalah seperti menipu, mencuri, menjawab apabila dimarahi dan menggunakan perkataan yang kasar apabila bercakap.


Punca-Punca Yang Menyebabkan Berlakunya Tingkahlaku Langsang :-
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kanak-kanak menunjukkan tingkahlaku langsang. Antaranya ialah:
• Rasa tidak selesa
Kanak-kanak yang letih, lapar atau tidak sihat selalunya cepat marah, meragam, merengek dan gelisah. Ini kerana mereka kurang memahami kemahiran mengawal emosi. Mereka tidak tahu cara yang sesuai untuk menyatakan keperluan melalui lisan atau melahirkan perasaan ketegangan.

• Tidak mengetahui sama ada tingkahlaku itu betul atau salah
Tingkahlaku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak biasanya dipelajari melalui pemerhatian terhadap persekitaran. Kanak-kanak tidak dilahirkan dengan pengetahuan tentang kesemua peraturan yang ada dalam kehidupan. Mereka mencuba sesuatu tingkahlaku tanpa mengetahui sama ada tingkahlaku itu sesuai atau tidak, betul atau salah.

• Inginkan perhatian
Kanak-kanak perlukan perhatian, sokongan, dan kasih sayang kerana ia merupakan sebahagian daripada keperluan yang perlu dipenuhi dalam kehidupan. Apabila kanak-kanak merasakan diri terpinggir, mereka akan cuba mendapatkannya sama ada dengan bertingkahlaku yang sesuai ataupun tidak, contohnya menolong guru atau menganggu rakan-rakan.

• Takut kepada sesuatu perkara
Perasaan takut kepada sesuatu juga menyebabkan kanak-kanak bertingkahlaku langsang. Takut kepada individu, haiwan atau benda boleh mengakibatkan kanak-kanak menjerit dan menangis.
Kaedah Untuk Mengawal Tingkahlaku Langsang :-
Bagi mengawal tingkahlaku langsang di kalangan kanak-kanak, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru. Kaedah yang dilakukan ini berpandukan prinsip-prinsip pembelajaran dalam modifikasi tingkahlaku, iaitu prinsip peneguhan, penghapusan, dan hukuman.
• Peneguhan
Apabila kanak-kanak menunjukkan tingkahlaku yang baik, mereka dipuji supaya tingkahlaku ini dapat diteruskan. Bagi mengelakkan kanak-kanak bertingkahlaku langsang, konsep peneguhan negatif boleh digunapakai, di mana kanak-kanak akan diberi perhatian sekiranya tidak menunjukkan tingkahlaku tersebut.

• Penghapusan
Penghapusan adalah satu cara untuk mengurangkan atau menghapuskan sesuatu tingkahlaku yang tidak diingini. Penghapusan bermaksud tidak mempedulikan tingkahlaku langsang yang kanak-kanak tunjukkan. Walau bagaimanapun, prinsip ini digunapakai sekiranya peneguhan yang diberi menyebabkan kanak-kanak bertingkahlaku langsang. Ini bermakna, jika perhatian daripada guru menyebabkan murid mengganggu rakan yang lain, maka guru tidak mempedulikan murid itu lagi supaya tingkahlaku tersebut dapat dihapuskan.

• Hukuman
Terdapat beberapa bentuk hukuman yang boleh digunakan untuk mengelakkan kanak-kanak terus bertingkahlaku langsang. Antaranya memberi hukuman fizikal, membuat teguran, time-out dan response cost. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum melaksanakan hukuman termasuk reaksi agresif yang mungkin timbul daripadanya, menghasilkan tingkahlaku mengelak atau melarikan diri, dan berkaitan dengan isu etika.



Dr Mahani/ Pn Junainah Mohd Isa
FSKPM

1 comment:

  1. salam dr, nak minta pandangan sikit tentang masalah anak saya. Dia baru 3 tahun 7 bulan masa, ada seorang adik yang baru nak masuk umur setahun 10 dis ni.dia suka kacau adik dia, buat kita marah kat dia. orang kata dia nak tarik perhatian kita, tak reti dah nak buat apa. macamana nak buat ye.

    ReplyDelete