Wednesday, July 1, 2009

Kenali Emosi Anak Anda

Kenali Emosi Anak Anda

Perkataan emosi berasal dari perkataan greek iaitu ‘emovere’ yang membawa maksud “untuk keluar’. Santrock (1998) mendefinisikan emosi sebagai perasaan atau efek yang melibatkan satu gabungan rangsangan fisiologi seperti degupan jantung yang laju dengan tingkahlaku yang nyata seperti senyum atau menyeringai. Oleh itu emosi merupakan tindakbalas atau kebangkitan yang ditonjolkan keluar terhadap sesuatu perkara atau objek, orang atau keadaan yang bertindak balas sebagai rangsangan kepada perasaan emosi.Ahli fisiologi bersependapat bahawa emosi melibatkan perasaan, gerak hati, tindakbalas fisiologi dan pernyataan emosi.

Emosi memainkan peranaan yang penting dalam kehidupan kanak-kanak. Kebolehan untuk menunjukan emosi telah sedia ada pada bayi yang baru dilahirkan dan kebolehan ini merupakan suatu proses perkembangan semula jadi yang tidak perlu diajar. Biasanya emosi yang ditunjukkan pada peringkat awal kelahiran terutama pada bulan pertama kelahiran merupakan tindakbalas kepada sesuatu rangsangan seperti rasa lapar atau rasa tidak selesa. Emosi ini diluahkan secara menyeluruh dan belum mempunyai pengkelasan emosi yang nyata.

Freud merupakan ahli psikologi yang pertama memberikan penekanan kepada peranan zaman bayi dan awal kanak-kanak dalam pembentukan emosi dan personaliti seseorang. Menurut Freud, personaliti seseorang telah terbentuk pada usia lima tahun, dan perkembangan yang berlaku selepas ini merupakan pemantapan struktur personaliti yang telah wujud.

Perkembangan emosi kanak-kanak amat bergantung kepada kesejahteraan emosi ibubapa atau penjaga. Kajian membuktikan emosi ibu yang tegang semasa mengandung akan menghasilkan bayi yang suka menangis atau merasakan dunia ini tidak selamat (Thompson, 1970 dalam Jas Laile Suzana, 1996). Santog (1994) pula mendapati aktiviti janin akan meningkat secara mendadak apabila ibunya mengalami tekanan emosi. Oleh itu orang-orang penting disekeliling sentiasa peka dengan emosi ibu yang yang mengandung ini agar emosi ibu ini sentiasa tenang dan tenteram, agar bayi akan menjadi anak yang periang dan tenang emosinya.

Apakah Emosi Anak Anda?

Peringkat awal bayi 0-3 bulan
1.Mula memandang ke arah wajah ibubapa-penjaga
2.Menunjukkan reaksi apabila mendengar suara
3.Menangis, senyum dan sudah mula mengeluarkan suara/bunyi.
4.Menunjukkan rasa selesa apabila diangkat atau dipeluk.


Aktiviti cadangan

Ibubapa/penjaga dicadangkan kerap memeluk bayi kerana keadaan akan dapat menimbulkan rasa selesa dan selamat pada bayi dan secara tidak langsung akan membantu perkembangan emosi yang sihat

Memandang ke arah bayi dengan penuh kasih sayang. Keadaan akan menyebabkan bayi merasa selamat dan akan menstabilkan emosinya

Menyentuh bayi dengan lembut dan membuat urutan pada badan bayi. Bayi akan merasa tenang dan selesa apabila diurut.





SELAMAT MEMBACA! Jumpa lagi
Dr Mahani Razali
UPSI








































No comments:

Post a Comment