Sunday, July 19, 2009

Tekanan dan Kanak-kanak


Tekanan merupakan gerak balas fizikal badan terhadap sebarang desakan yang dikenakan ke atas dirinya (Selye, 1956). Tekanan yang dihadapi oleh kanak-kanak pula melibatkan desakan terhadap sesuatu yang berlainan daripada biasa atau baru. Desakan ini menyebabkan kanak-kanak terpaksa menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk menghadapi situasi yang lebih mencabar ini. Terdapat dua jenis tekanan, iaitu tekanan positif dan tekanan negatif. Tekanan positif adalah tekanan yang mendorong seseorang itu menjadi lebih bermotivasi. Tekanan yang berlebihan pula boleh menjadi tekanan negatif. Tekanan negatif akan memberi kemudaratan kepada kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, mental dan emosional.


KESAN TEKANAN TERHADAP KANAK-KANAK

Tekanan diperlukan dalam hidup sebagai sumber motivasi. Walau bagaimanapun, tekanan yang berlebihan akan mengakibatkan kanak-kanak mengalami kesan negatif seperti kemurungan dan kecelaruan. Kesan tekanan ini dapat dilihat daripada segi fizikal dan psikologikal .

Dari segi fizikal, kanak-kanak akan selalu berpeluh walaupun dalam cuaca yang sejuk. Mereka juga akan mengalami sakit perut, muntah-muntah, pening dan sakit kepala. Apabila malam, mereka sukar untuk melelapkan mata. Kadangkala, kanak-kanak juga merasakan bahawa mereka sukar untuk bernafas.

Kesan psikologikal juga dapat dilihat berlaku akibat tekanan yang dialami. Kanak-kanak didapati sukar untuk memberi perhatian terhadap sesuatu perkara. Mereka akan termenung dan seolah-olah kebingungan. Kanak-kanak ini juga sukar untuk membuat keputusan apabila diminta. Mereka kelihatan bimbang dan murung kerana memikirkan masalah yang sedang dihadapi. Menurut Kostelnik et al (2006), sekiranya kanak-kanak gagal untuk menangani tekanan, kadangkala situasi seperti lari dari rumah, anggap orang lain ingin mencederakannya, bersedia untuk mati, mendengar suara-suara tertentu, dan sebagainya boleh berlaku.

Kanak-kanak yang mengalami tekanan dalam sesuatu situasi tetapi pada masa yang sama merasai keseronokan dalam situasi yang lain dapat mengurangkan rasa tertekan. Contohnya, apabila berada di sekolah kanak-kanak tertekan dengan pelajaran tetapi apabila berada di rumah, dia gembira dengan layanan baik ibu bapa terhadapnya. Pengalaman yang seimbang ini dapat membantu kanak-kanak menghadapi tekanan dengan lebih baik.



Dr Mahani Razali
Nor Junainah Mohd Isa

No comments:

Post a Comment