Wednesday, July 1, 2009

Memahami Tingkahlaku Bermasalah di Kalangan Kanak-Kanak

Memahami Tingkahlaku Bermasalah di Kalangan Kanak-Kanak

Dalam mengharungi kehidupan, pelbagai cabaran dari segi fizikal dan psikologikal dihadapi oleh setiap individu. Cabaran dan rintangan hidup ini kadangkala menyebabkan berlakunya gangguan emosi dan tingkahlaku. Sekiranya pengesanan awal, rawatan, penjagaan dan pemulihan tidak dibuat, maka impak yang amat besar akan dialami oleh individu itu sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita akan kehilangan modal insan untuk membangunkan negara ke arah mewujudkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Definisi Tingkahlaku

Tingkahlaku adalah apa sahaja yang dilakukan dan diucapkan oleh seseorang, dan boleh dilihat oleh orang lain (Mukherji, 2001). Ia merupakan respon atau tindak balas individu terhadap apa yang berlaku sama ada dalam dirinya sendiri ataupun di persekitaran. Contohnya jika kanak-kanak gembira, tindakan yang dibuat oleh kanak-kanak itu untuk menzahirkan perasaan tersebut seperti tersenyum, menepuk tangan atau melompat dianggap sebagai tingkahlaku.


Terdapat dua jenis tingkahlaku, iaitu yang boleh dilihat (overt) dan tidak boleh dilihat (covert). Tingkahlaku yang boleh dilihat termasuklah tingkahlaku verbal (penggunaan bahasa) dan tingkahlaku motor (pergerakan badan). Tingkahlaku-tingkahlaku ini boleh dilihat dan diperhatikan oleh individu lain.

Tingkahlaku Bermasalah

Sesuatu tingkahlaku yang boleh merosakkan diri sendiri atau orang lain termasuk persekitaran dianggap sebagai tingkahlaku bermasalah. Antaranya ialah tingkahlaku agresif (buli, vandalisme, jenayah), tingkahlaku berisiko tinggi (kehamilan, penyalahgunaan dadah dan alkohol, lumba haram), delinkuen (kelakuan antisosial dan melanggar undang-undang), keresahan, kemurungan, kecelaruan, dan mencederakan diri sendiri.

Di Malaysia, 13 peratus atau 130 000 orang kanak-kanak dan remaja didapati mengalami masalah tingkahlaku dan emosi (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005). Antara sebab yang menyumbang kepada tingkahlaku bermasalah termasuklah tekanan dalam keluarga, teknik keibubapaan yang kurang sesuai, keadaan persekitaran, dan kurangnya ilmu pengetahuan untuk menanganinya.

Pengesanan dan intervensi awal dianggap penting untuk membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa supaya perkembangan yang sihat dapat diperoleh. Perkembangan yang sihat ini dapat membentuk kesejahteraan mental yang baik untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan

Fields dan Boesser (1994) telah menghuraikan beberapa keperluan kanak-kanak yang akan menyebabkan mereka menunjukkan tingkahlaku bermasalah sekiranya tidak dipenuhi. Antaranya ialah:

1. Privasi-Kadangkala kanak-kanak inginkan ruang atau kebebasan untuk menyendiri. Contohnya, kanak-kanak ingin bermain atau membaca bersendirian.

2. Kuasa • Kanak-kanak juga inginkan kuasa untuk menentukan dirinya sendiri. Mereka juga inginkan kebebasan. Contohnya, kanak-kanak ingin memilih sendiri pakaian yang ingin dipakai semasa bermain.

3. Memiliki barang peribadi • Kanak-kanak ingin memiliki sesuatu benda. Mereka tidak mahu berkongsi barang yang dianggap milik peribadi seperti kasut dan permainan.

4. Perhatian • Kanak-kanak inginkan perhatian. Selalunya, mereka akan menangis supaya dapat memberitahu orang lain tentang keperluan mereka itu.

5. Kejayaan dan cabaran • Kanak-kanak ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka meneroka dunia dan persekitaran disebabkan perasaan ingin tahu. Kanak-kanak akan mencuba sesuatu tingkahlaku untuk melihat kesan daripada tingkahlaku tersebut.

6. Keselamatan • Keperluan keselamatan yang ingin diperlukan oleh kanak-kanak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosional. Melalui interaksi, kanak-kanak belajar untuk menghargai dan menerima dirinya sendiri dan orang lain.

7. Kasih sayang dan penerimaan • Kanak-kanak ingin disayangi dan diterima seadanya oleh orang lain. Apabila kanak-kanak merasakan diri mereka terbiar, mereka akan merasa rendah diri dan kendiri negatif akan terbentuk.


Di petik dari Buku :
Memahami Tingkahlaku Kanak-Kanak
Mahani Razali
Mahizer Hamzah
Nor Junainah Mohd Isa

No comments:

Post a Comment

Post a Comment